Peguam bela kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas hadir untuk didakwa atas empat pertuduhan pengubahan wang haram 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Peguam utama yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri  Muhammad Shafee Abdullah yang kini berhadapan dengan dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah bertegas ianya ‘karut’, rapuh serta bersifat politik semata-mata.

Shafee Abdullah didakwa atas empat pertuduhan menerima bayaran sebanyak RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri itu  kira-kira lima tahun lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, adalah lagi terang lagi bersuluh dirinya adalah mangsa politik segelintir yang mempunyai agenda tertentu termasuk konspirasi untuk menyingkirkan beliau daripada mengetuai kes Najib dalam skandal 1MDB kelak.

“Dakwaan ini mengarut sekali. Malah ianya sungguh rapuh. Seandainya kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi dan di adili oleh seorang hakim yang bebas, saya sudah tentu akan menang mudah.

“Dakwaan ke atas saya sebenarnya tidak berasas malah kerajaan yang anda telah pilih kini, Pakatan Harapan (PH) begitu terdesak dalam memenuhi janji manifesto mereka sehingga terpaksa terdesak mendakwa saya.

“Jika anda berada di tempat saya, adakah anda akan bertanyakan kepada Perdana Menteri, dari manakah sumber kewangan yang diberikan kepada saya sebagai yuran terhadap perkhidmatan guaman? Saya tidak tanya sumber kewangan itu.

“Pada 2014 dan 2015, adakah anda (pemberita) pernah mendengar nama atau istilah 1MDB? Saya sendiri pun tidak pernah mendengarnya. Bayaran yang dibuat ketika itu dikaitkan dengan wang 1MDB. Bagaimana saya tahu?

“Untuk pengetahuan anda semua, saya merupakan peguam yang menasihati bukan sahaja Najib tetapi sejak era Tun Mahathir ketika beliau Perdana Menteri yang keempat kemudian Tun Abdullah Badawi dan Najib.

“Saya telah sekurang-kurangnya mewakili 46 kes berkaitan UMNO BN sahaja. Kerajaan perlu membayar jika tidak silap sekurang-kurangnya RM20 juta.

“Ini saya bercakap tentang UMNO dan BN sahaja, kes-kes dan khidmat nasihat saya yang diperlukan walaupun pada tengah malam. Daripada jumlah itu, Najib telah bersetuju untuk membayar RM9.5 juta ketika itu sehingga saya boleh memberikan senarai penuh tuntutan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi kompleks Mahkamah sejurus selepas selesai urusan membayar wang jaminan sebanyak RM500,000 daripada jumlah asal RM1 juta yang akan dibayar bakinya pada 18 September ini.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda atau nilai aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Muhammad Shafee merupakan peguam utama yang mengetuai barisan tujuh peguam bela yang mewakili Najib ketika bekas Presiden UMNO itu didakwa pada 4 Julai lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Pertuduhan itu juga dikaitkan dengan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menerima affidavit seorang pegawai Jabatan Peguam Negara mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib pada tahun 2013 dan tahun 2014.

Pada minggu lepas, seorang pegawai Jabatan Peguam Negara, Siti Rahayu Mohd Mumazaini membuat pendedahan satu afidavit mendakwa dua cek dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB Shafee Abdullah pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Cek pertama dilaporkan bernilai RM4.3 juta sementara yang kedua bernilai RM5.2 juta yang dikeluarkan dikeluarkan daripada akaun AmIslamic Bank Bhd milik Najib.

Rahayu mendakwa maklumat itu diperoleh apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Maalysia (SPRM) membekukan akaun bank Muhammad Shafee semasa menyiasat peguam terbabit bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Tambah Rahayu, Shafee memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mendakwa beliau tidak menerima wang tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee mendakwa hujah Anwar yang integriti pendakwaan terjejas ketika beliau menjadi pendakwa raya khas dalam perbicaraan liwat keduanya pada tahun 2014 pincang dan rapuh sekali.

“Anwar mendakwa saya terima telah menerima ‘habuan’ sebanyakRM9.5 juta nilai untuk mendakwa beliau sehingga dirinya tidak mendapat perbicaraan yang adil.

“Tetapi apa yang anda perlu tahu, saya tidak mendakwa kes itu, saya tidak selia kes itu. Saya hanya menjalankan proses rayuan yang saya ambil rekod dan hujah. Saya tidak jadikan bukti sedia ada kepada lebih baik sebaliknya hanya berhujah berdasarkan rekod sedia ada,” tegasnya.

Kes akan disebut semula pada 2 Oktober ini. Dua pasport Muhammad Shafee iaitu pasport antarabangsa Malaysia dan pasport diplomatik diserah kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan. – MalaysiaGazette