Menteri Industi Utama, Teresa Kok (kanan) bersama Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Datuk Zakaria Arshad (kiri) pada Majlis Pelancaran Insiatif FGV-MPOB dalam menerajui penggunaan B10 di FGV Transport Services Sdn Bhd, Pelabuhan Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 13 SEPTEMBER 2018.

PELABUHAN KLANG – UMNO dan Pas dicabar memberi kemenangan percuma kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika mereka merasakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan membazirkan wang rakyat.

Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, sekiranya parti pembangkang beranggapan sebegitu, mereka digesa untuk tarik diri daripada pertandingan itu agar Anwar menang tanpa bertanding.

“Saya lihat ada beberapa kenyataan daripada parti pembangkang mengatakan bahawa PRK ini akan merugikan wang rakyat dan sebagainya.

“Kalau begitu jangan masukkan calon, bagi Datuk Seri Anwar menang tanpa bertanding. Kalau itu niat dia, itu permintaan saya kepada parti pembangkang.

“Kita bukan menafikan demokrasi, kalau itu alasannya, lupakan pasal pilihan raya, jangan masuk calon, bagi kami masuk dan menang tanpa bertanding, selesai,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam yang mendakwa PRK hanya akan membazirkan jutaan duit rakyat semata-mata memberi laluan kepada Anwar berada dalam Parlimen.

Mohd Amar berkata, apatah lagi PRK Port Dickson diadakan ketika kerajaan sendiri masih mengharapkan sumbangan rakyat menerusi Tabung Harapan Malaysia.

Shamsul Iskandar juga tidak menafikan PRK Port Dickson adalah cabaran kepada PKR untuk memastikan peratusan keluar mengundi tidak rendah sebagaimana tiga PRK sebelum ini.

“Kalau dulu kita menang lebih 17,000 undi, kita harap kali ini kita boleh dapat undi lebih kerana PRK Seri Setia dan tempat-tempat lain menyaksikan penurunan keluar mengundi.

“Kali ini cabaran kita untuk memastikan ramai pengundi keluar dan bersungguh-sungguh untuk memberikan kemenangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast