Wajah-wajah manusia yang tidak mempunyai perikemanusiaan tanpa rasa bersalah mendera haiwan.
Wajah-wajah manusia yang tidak mempunyai perikemanusiaan tanpa rasa bersalah mendera haiwan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor menggesa semua pihak membantu polis dalam usaha memburu dua lelaki yang baru-baru ini dirakam kamera litar tertutup memasukkan seekor kucing ke dalam mesin pengering kain di sebuah premis dobi layan diri di Gombak.

Penaungnya Tan Sri Lee Lam Thye berkata masyarakat perlu tampil untuk membantu polis dalam kes itu kerana perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti itu tidak boleh dibiarkan dan dua lelaki itu perlu menerima hukuman berat mengikut undang-undang.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang berterusan mendera haiwan termasuk anjing dan kucing liar. Haiwan tidak boleh bercakap atau menjerit meminta tolong apabila didera, tetapi ini tidak bermakna ia tidak berasa sakit apabila diperlakukan dengan kejam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dilaporkan perbuatan kejam itu berlaku pada pagi Selasa (11 Sept).

Lee juga berharap Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menyiasat kes itu supaya suspek dapat didakwa di mahkamah mengikut Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015.

“Juga penting bagi rakyat Malaysia untuk melaporkan kes penganiayaan haiwan dan bertindak sebagai saksi semasa perbicaraan berikutan banyak pendera haiwan terlepas daripada tindakan kerana tiada siapa mahu tampil dan bertindak sebagai saksi dalam kes berkenaan,” katanya.

— BERNAMA