Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berucap pada Seminar On Government Insight Series 2018 bertajuk Pengasingan Kuasa Dimana Garisan Neutraliti Penjawat Awam di Auditorium Intan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 SEPTEMBER 2018
Tun Zaki Azmi

KUALA LUMPUR – Semua penjawat awam perlu menukar pemikiran untuk menerima kerajaan baharu yang telah dipilih oleh rakyat pada hari ini.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, mana-mana penjawat awam yang tidak berbuat demikian, mereka boleh dianggap melanggar syarat sebagai seorang kakitangan kerajaan.

“Bukan sahaja penjawat awam tapi mereka yang bekerja di mana-mana pun perlu mengikut organisasi itu.

“Jadi sekarang bila dah ada bos baru kenalah ikut bos baru, jika tidak kita melanggar syarat-syarat sebagai seorang penjawat awam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Seminar Pengasingan Kuasa:Dimana Garisan Neutraliti Penjawat Awam, di Institut Tadbiran Negara di sini hari ini.

Zaki berkata, seseorang penjawat awam tidak boleh bertindak seperti seorang ahli politik atau penyokong sesebuah parti politik kerana ia hanya akan menimbulkan satu keadaan yang tidak betul di dalam organisasi kerajaan.

Katanya, penjawat awam perlu bijak dalam membezakan antara tugas sebagai seorang kakitangan kerajaan dengan parti politik yang disokong dan tanggunjawab mereka untuk menggalas amanah sebagai mana janji mereka ketika menerima jawatan yang disandang.

Jelas beliau, penjawat awam mempunyai janji bukan sahaja kepada kerajaan, malah terhadap negara dan yang paling utama kepada Yang Dipertuan Agong.

“Kita punya pemikiran kena tukar. Kalau nak jadi politician jadi politician, tak usah jadi penjawat awam.

“Kalau jadi penjawat awam yang nak bangunkan parti yang kita sokong itu tidak betul. Kena ikut dasar kerajaan yang ada sekarang. kita sokong kerajaan tapi bukan parti itu,” ujarnya.

Sementara itu, Zaki turut mengajak penjawat awam supaya menggunakan kuasa untuk memviralkan sesuatu perkara yang diketahui tidak betul dalam jabatan kerajaan jika tidak berani untuk berdepan menyuarakan perkara itu.

“Kamu ada hand phone (telefon bimbit) boleh guna itu untuk viralkan kalau ada salah laku, penyelewengan dan sebagainya.

“Zaman sekarang ini semuanya orang viralkan sahaja. Sebab itu ada sesetengah ustaz kata jangan viralkan benda yang tidak diketahui kesahihannya,” ujarnya menjawab soalan seorang peserta pada seminar berkenaan. – MalaysiaGazette