Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini diseru supaya terus meraikan keharmonian dan kepelbagaian yang dinikmati selama ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, lima dekad berlalu sejak tertubuhnya negara Malaysia hasil gabungan Persekutuan Malaya dengan Sarawak dan Borneo Utara (kini Sabah).

“Peristiwa penyatuan tiga wilayah yang bersejarah ditambah manis dengan ciri-ciri unik dimiliki oleh setiap wilayah.

“Perjuangan kita untuk mengecapi kemerdekaan dan menegak demokrasi dinikmati tanpa pertumpahan darah dan ini merupakan kejayaan yang dapat dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.

“Pada hari ini, marilah kita mengenangi perit jerih yang dilalui oleh nenek moyang kita dan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menjadikan Malaysia sebuah realiti,” katanya menerusi perutusan Hari Malaysia hari ini.

Wan Azizah berkata, keindahan Malaysia sesungguhnya terletak pada rakyatnya.

“Marilah kita terus meraikan keharmonian dalam kepelbagaian ini.

“Marilah kita terus menikmati perbualan di sekeliling kita yang dituturkan dalam bahasa yang pelbagai, ujar beliau.

Jelasnya, toleransi, hormat-menghormati, saling memahami dan saling menerima adalah harta kepada masyarakat Malaysia yang harus sentiasa dihargai dan didokong.

“Perjalanan yang sudah kita lalui amat panjang namun masih banyak lagi kegemilangan yang Malaysia boleh gapai, tambahnya.

“Bersama kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kemegahan dan kebanggaan.

“Selamat Hari Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette