Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berbual dengan sebahagian Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan Jabatan Ortopedik ketika mengadakan mesyuarat tertutup di Hospital Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 SEPTEMBER 2018

SUNGAI BULOH – Seorang Ketua Jabatan Ortopedik  di sebuah hospital kerajaan di Lembah Kelang yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih di bawah seliaanya  telah ditahan tugas selama dua bulan berkuatkuasa semalam.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pegawai perubatan yang bertugas di hospital tersebut sejak 2009 bakal dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk tindakan penggantungan perkhidmatannya.

Kata beliau, keputusan itu dibuat hasil siasatan dalaman dan keputusan yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 10 September lalu selain membolehkan SPA menjalankan siasatan lebih mendalam selepas ini untuk menggantung individu itu.

“KKM juga menyerahkan laporan siasatan pelaku kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya juga mengesahkan KKM juga menerima maklumbalas SPA yang menyatakan bahawa suruhanjaya itu telah membuat keputusan untuk mengenakan Perintah Tahan Kerja di bawah Peraturan 43 ke atas ketua jabatan berkenaan selama dua bulan mulai 17 September (Isnin).

SPA mengambil tindakan itu hasil mesyuarat pada 14 September lalu bagi membolehkan siasatan lanjut oleh pihak-pihak berkuasa yang berkaitan dijalankan ke atas ketua jabatan itu,” katanya dalam sidang media di sini.

Dzulkefly melawat Hospital Sungai Buloh dan mengadakan perjumpaan bersama Pengarah hospital berkenaan serta para pegawai perubatan Jabatan Ortopedik yang berlangsung selama 2 jam dengan berkongsi dan mendengar pendapat mereka.

Susulan daripada arahan Perintah Tahan Kerja tersebut, tambah beliau, kementeriannya akan memulakan siasatan dalaman pada minggu hadapan sebelum laporan siasatan diserahkan kepada SPA bagi tujuan penamatan perkhidmatan ketua jabatan tersebut.

“Beliau (pelaku) bagaimanapun berhak untuk tampil mempertahankan kedudukan beliau,” katanya.

Malah katanya, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) juga bertindak untuk membatalkan Lesen Pengamal Perubatan bekas ketua jabatan itu.

“Hospital berkenaan menyedari kejadian itu dan selepas saya melangkah masuk memulakan inkuiri barulah kita siasat serius sehingga membawa kepada tindakan.

“Sebanyak 31 mesyuarat diadakan dan 38 orang saksi yang juga mangsa tampil memberi keterangan sepanjang siasatan dan ada dalam kalangan mereka menceritakan detik gangguan seksual yang teruk.

“Yang menjadi kegusaran ialah kakitangan ortopedik jabatan itu yang terkesan dengan khabar angin kononnya akan dipindahkan kelak mencetuskan trauma dalam kalangan mereka.

“Tetapi saya memberi jaminan tidak akan berlaku (pindah mereka). Kita akan mengambil langkah pemulihan komprehensif untuk mangsa bukannya menghukum.

“Selepas ini pegawai perubatan dan pakar Ortopedik boleh menjalankan tugas harian dengan selesa dan tenang tanpa kegusaran, untuk memastikan suasana terbaik jabatan itu dikembalikan,” katanya.

Justeru Dzulkefly berkata, SPA akan mengambil tindakan setelah tamat siasatan mereka untuk menamatkan perkhidmatan doktor itu.

“Begitu juga MMC sebaik kita sudah majukan laporan terperinci nanti, mereka terus ambil tindakan, kini mereka sedang siasat dan berikanlah ruang dan masa secukupnya,” kata beliau.

Pada 10 September lalu KKm dalam satu kenyataan tmengesahkan Badan Siasatan Bebas selesai mengemukakan hasil siasatan dakwaan salah laku seorang Ketua Jabatan (HOD) di sebuah hospital di Lembah Klang.

Hasil siastan menunjukkan terdapat alasan kukuh untuk KKM megambil tindakan ke atas ketua jabatan tersebut.

Badan bebas telah mengesyorkan kepada KKM untuk mengemukakan aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia bagi menjalankan siasatan ke atas ketua jabatan berkenaan di bawah peraturan peraturan termaktub di dalam Akta Perubatan 1971, mengambil tindakan sewajarnya untuk menggantung ketua jabatan berkenaan dan memberi laluan kepada siasatan lanjut oleh pihak berkuasa yang berkaitan. – MalaysiaGazette