Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad bercakap pada sidang media berhubung pembangunan berhampiran Kondominium Desa Putra Taman Sri Rampai di Pejabat PKR Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan paling tegas termasuk memecat mana-mana ahli yang terbukti mengamalkan politik wang dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu diambil dengan segera oleh jawatankuasa disiplin parti itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, parti sepatutnya tidak berkompromi dengan budaya tidak sihat itu demi memelihara nama baik PKR yang kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya didapati benar, tindakan paling tegas termasuk memecat anggota-anggota yang terlibat dalam gejala itu harus diambil.

“Kalau mereka nak rayu kemudian mereka boleh rayu tetapi kita kena ambil tindakan paling tegas kerana rasuah dalam pemilihan adalah sesuatu perkara boleh menjejaskan nama baik parti,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Keadilan Parlimen Setiawangsa di Taman Sri Rampai hari ini.

Beliau mengulas penahanan reman ke atas dua ahli PKR Kedah bagi membantu siasatan pembabitan mereka dalam politik wang untuk pemilihan pemimpin cabang parti itu minggu ini.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 46 dan 48 tahun yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan parti itu dikeluarkan Majistret Mohd. Hadi Hakimi Harun pada Ahad lalu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek dipercayai meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti kekal dalam sistem pemilihan yang melayakkannya untuk bertanding.

Nik Nazmi juga menegaskan, insiden terbabit tidak akan menjejaskan nama baik Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Jawatankuasa Pemilihan Parti mengumumkan beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden parti.

“Kita parti yang melibatkan lebih 800,000 orang dan kita tidak boleh mengatakan insiden itu satu alasan tapi ini realiti ada bermacam orang dalam parti.

“Kita sebelum ini pun telah ambil tindakan disiplin terhadap anggota parti dari tahun 1999 hingga ke hari ini dan kita akan terus mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang ada masalah.

“Tapi bagi saya tiada kaitan itu dengan Anwar atau sesiapa kerana insiden-insiden ini adalah terpencil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast