Najib Razak

KUALA LUMPPUR – Datuk Seri Najib Razak masih menanti-nantikan jawapan dari Lim Guan Eng dan Kerajaan Pakatan Harapan berhubung kos sebenar projek pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang didakwa sebanyak RM30 bilion.

Menurutnya, beliau mahu tahu kertas cadangan mana dan dari tahun mana tercatat kos RM30 bilion seperti yang didakwa oleh Guan Eng dan kerajaan baharu.

Bekas Perdana Menteri itu juga masih menunggu jawapan Menteri Kewangan itu mengenai kedudukan baki Akaun Hasil Disatukan yang didakwa hanya RM450 juta pada akhir April lalu.

Najib berkata, beliau telah menjawab tuduhan-tuduhan Guan Eng dengan memberi banyak sebab dan mengapa dakwaan itu dikatakan mustahil.

“Malangnya, sehingga kini, Guan Eng tidak pernah menyebut lagi perkara ini ataupun menjawab dengan maklumat lebih terperinci,” katanya.

Jelas beliau, Guan Eng juga belum menjawab cadangannya supaya mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kehilangan dana sejumlah RM35 bilion bagi Bayaran Balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Jangan cuma menuduh semata-mata untuk memburukkan saya dan kerajaan BN dulu tanpa memberi bukti,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast