Mohamad Hassan
Mohamad Hassan

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan UMNO sudah pastilah khabar yang mendukacitakan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kedua-dua mereka adalah tokoh yang disegani, berkebolehan dan terbukti keupayaan dalam memimpin dan berkhidmat.

“Jasa dan sumbangan mereka kepada UMNO dan negara adalah sesuatu yang tidak dapat kita nafikan. Kita amat berterima kasih dan menghargai segala jasa dan sumbangan tersebut.

“Namun begitu, kini mereka memilih haluan berbeza dan memutuskan untuk meninggalkan UMNO dan perjuangannya. Saya yakin, ini adalah satu keputusan yang tidak mudah kepada semua.

“Kepimpinan UMNO, khususnya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO amat prihatin dengan perkembangan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengakui sejak empat bulan yang lepas proses membaik pulih UMNO pasca PRU-14 dan penetapan haluan yang jelas untuk parti berjalan dengan sedikit perlahan dan tidak serancak atau radikal seperti yang diharapkan oleh semua pihak.

Keadaan itu, katanya, mengundang rasa tidak selesa dan mewujudkan satu ketidakpastian yang merugikan semua pihak.

” Justeru, saya ingin tegaskan bahawa perkara ini akan diberikan perhatian dan penekanan yang serius selepas ini demi memastikan UMNO tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangannya.

“Malah, saya percaya wujud keperluan mendesak untuk agenda pemulihan dan hala tuju parti dikongsikan dengan semua dalam tempoh yang segera.

“Perkara ini akan menjadi pertanggungjawaban saya, MKT dan Presiden parti untuk dilakukan dengan secepat mungkin,” katanya.

Justeru beliau berharap yang segenap ahli, pendukung dan kepimpinan UMNO amat terus memberi sokongan penuh kepada parti, khususnya dalam tempoh yang mencabar ini.

“Semoga usaha kita memulihkan UMNO dan kewibawaannya akan berjalan lancar dan UMNO kembali diyakini dan menjadi pilihan, Insya-Allah,” ujarnya.-MalaysiaGazette

Dato Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan
Timbalan Presiden UMNO Malaysia