Foto Instagram Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengubati kerinduan peminatnya apabila hari ini kembali dengan single terbaharunya berjudul Anta Permana.

Siti memberitahu, Anta Permana ciptaan dua komposer muda, Hael Husaini dan Ezra Kong itu diambil daripada perkataan Melayu Klasik yang membawa maksud tidak terkira atau infiniti.

Jelas penyanyi berusia 39 tahun ini, pemilihan judul lagu ini selain maknanya bertepatan lirik, beliau ingin memperkenalkan kembali perkataan Melayu Klasik yang jarang digunakan dalam kalangan generasi muda.

“Ia mengisahkah cinta sejati yang tiada bandingannya dan pemilihan judul lagu ini selain maknanya bertepatan lirik, saya ingin memperkenalkan kembali perkataan Melayu Klasik yang jarang digunakan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi dengan kemunculan single terbaru ini dan berharap agar para peminat muzik tempatan akan menyukainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengimbau idea kolaborasi itu, Siti berkata, Hael menyatakan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya pada Februari lalu sebelum tertarik dengan demo yang dihantar kepadanya pada Mei lalu.

“Saya tertarik dengan lagu ciptaan Hael dan Ezra ini sewaktu pertama kali mendengarnya. Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju merakamkan lagu itu kerana yakin dengan bakat dimiliki oleh dua komposer muda ini,” katanya.

Siti menyifatkan Anta Permana adalah sebuah lagu yang segar, mesra telinga (catchy) serta ada keunikan dengan gabungan muzik moden dan klasik.

Sementara itu, Siti  juga telah menjalani penggambaran muzik video yang diarahkan oleh Rifaiee Omar dari Rio Films Production.

Muzik video ini boleh ditonton di youtube Vevo DatoSNurhalizaVEVO bermula minggu hadapan.

Ana Permana kini boleh dimuat turun di semua platform digital seperti Apple Music (iTunes), Spotify, Joox dan KKBox. – MalaysiaGazette