Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Peminjam dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bukan tidak mahu membayar hutang, tetapi mereka tidak mempunyai pekerjaan untuk berbuat demikian.

Selain itu, menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, ramai daripadanya bekerja dengan pendapatan yang kecil menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk membuat bayaran balik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, kerajaan harus memahami keadaan yang dihadapi kebanyakan peminjam itu, bukan membuat tuduhan melulu.

“Kita kena akui ada daripada pemimpin tergolong dalam kategori miskin bandar dan miskin tegar.

“Biasanya, mereka ini sukar hendak membuat bayaran balik pinjaman kerana menanggung banyak beban seperti mula menyara keluarga selepas tamat belajar.

“Dalam budaya kita, jika seorang itu belajar di universiti, harapan besar keluarga untuk mereka membantu keluarga yang lebih besar,” katanya yang dipetik Keadilan Daily hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas sikap tidak jujur peminjam PTPTN yang enggan membayar hutang sehingga menyebabkan hutang terkumpul yang tidak dibayar sebanyak RM36 bilion.

Perdana Menteri itu berkata, beliau berasa mali dengan sikap seumpama itu kerana peminjam berkenaan langsung tidak mempunyai rasa bertanggungjawab apabila mereka diamanahkan dengan sesuatu.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi menjelaskan, tidak adil untuk menggelarkan semua peminjam yang tidak membayar pinjaman PTPTN sebagai tidak malu dan tidak amanah.

Katanya, beliau akui ada peminjam culas membayar seperti yang dinyatakan Dr Mahathir, tetapi pada masa sama, ramai yang gagal berbuat demikian kerana belum mendapat pekerjaan atau bergaji rendah.

“Biasiswa juga semakin berkurangan. Maka semakin ramai lepasan sekolah tiada pilihan selain ke IPTS,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast