Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin jumlah perdagangan Malaysia bagi 2018 akan mengatasi pencapaian rekod RM1.77 trilion yang dicatat pada tahun lepas.

Ketua Setiausahanya, Datuk Isham Ishak berkata, kementerian itu menjangkakan pertumbuhan tahun ini mencatat sekitar 6.0 peratus hingga 7.0 peratus berikutan peningkatan keyakinan terhadap ekonomi dan ketelusan kerajaan baharu.

“Jumlah perdagangan itu sudah pun melepasi angka RM1 trilion pada Julai lepas. Oleh itu, berdasarkan kadar pertumbuhan sedemikian, kita yakin angka (jumlah perdagangan) akan mengatasi pencapaian tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar acara Fun Walk – Trade Fest 2018 Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersempena sambutan ulang tahun ke-25 agensi itu di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Isham berkata, penyusutan nilai ringgit turut membantu melonjakkan eksport negara, berdasarkan aliran peningkatan sejak beberapa bulan lepas.

Malah, bagi tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah dagangan Malaysia meningkat 6.1 peratus kepada RM1.01 trllion manakala eksport naik 7.3 peratus kepada RM565.72 bilion.

Negara ini juga, katanya, turut mendapat manfaat daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang menyaksikan Malaysia dijadikan hab eksport oleh negara-negara yang terjejas akibat konflik berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan itu bersifat sementara kerana pertikaian perdagangan itu tidak akan memberi manfaat kepada perdagangan global dalam tempoh jangka panjang.

Isham berkata, impak sebenar perang dagangan itu juga masih belum ketara dan hanya dapat dinilai setahun selepas semua kontrak jualan jangka pendek berakhir.

Menyentuh pelaburan asing, beliau berkata Malaysia menyaksikan peningkatan minat pelabur untuk membuka kilang pengeluaran di negara ini dalam usaha mengelak perang tarif antara AS-China.

Katanya, walaupun masih belum direalisasikan lagi setakat ini, minat itu dipaparkan oleh negara-negara seperti AS, Indonesia dan China yang mana produk mereka terjejas akibat perang tarif berkenaan.

“Selain memiliki asas yang kukuh, kerajaan baharu Malaysia juga merupakan antara faktor yang menarik minat pelabur. Ini kerana, mereka melihatnya sebagai satu aspirasi baharu bagi memulihkan pentadbiran kerajaan selain aspek tadbir urus,” katanya.

Sementara itu, mengulas Trade Fest 2018 MATRADE, Ketua Pegawai Eksekutif agensi itu, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata acara tiga hari bermula 20 September itu berperanan sebagai platform pendedahan aktiviti eksport kepada kalangan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menurutnya, kemajuan teknologi digital juga membolehkan lebih ramai usahawan tempatan untuk mudah mendapat akses ke pasaran antarabangsa serta pada kos lebih cekap.

Selain itu, acara sedemikian membolehkan MATRADE memberi lebih banyak pendedahan kepada orang ramai mengenai aspek dagangan antarabangsa menerusi ceramah serta maklumat kemudahan disediakannya serta aspek padanan perniagaan, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast