GPMS
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mantan Perdana Menteri keenam, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyempurnakan gimik perasmian sambil diperhatikan Presiden GPMS, Zambri Md. Isa (dua kiri) pada Majlis Perasmian Persidangan Agung Tahunan (PAT) Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke-62 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 27 NOVEMBER 2016.

KUALA LUMPUR – Belum pun reda dua ahli Parlimen UMNO keluar parti sejak Selasa lalu, kini Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula kini dalam dilema apabila hala tuju penubuhannya mungkin tersasar.

Lebih buruk apabila badan bukan kerajaan (NGO) itu akan dikuasai ‘tangan ghaib’ yang cuba memonopoli pucuk pimpinannya tanpa melalui pemilihan secara demokrasi.

Dengan kata mudah, lantikan politik dalam GPMS akan menentukan hala tuju yang lebih cenderung kepada kepentingan dan mesra parti pemerintah hari ini.

Menurut sumber MalaysiaGazette, jawatan nombor dua dalam NGO itu iaitu timbalan pengerusinya bakal diisi oleh bekas calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang tewas di satu kerusi Parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Campur tangan pemimpin muda berstatus menteri dalam parti Melayu itu juga dipercayai akan memastikan jawatan itu diisi secara lantikan politik bagi memastikan GPMS menyokong kerajaan hari ini tanpa gagal.

Dengan langkah itu GPMS didakwa menjadi platform terbaik meneruskan agenda parti pemerintah untuk meracuni minda golongan muda yang majoritinya menyokong dan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

Sebelum PRU14, umum mengetahui GPMS diterajui oleh pucuk pimpinan yang mesra kepada parti pemerintah terdahulu.

Apabila kerajaan bertukar, GPMS yang selama ini melahirkan ramai pemimpin muda khususnya dalam institusi pengajian tinggi tanpa mengira parti bakal terarah kepada satu haluan sahaja.

Tidak mustahil GPMS yang terkenal melahirkan ramai pemimpin politik dan negarawan sebelum ini seperti bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam bakal menjadi alat propaganda kerajaan seperti Biro Tata Negara (BTN).

Melalui GPMS juga, tangan ghaib itu akan menghalang usaha UMNO untuk memulihkan kepercayaan anak muda selepas PH gagal menunaikan janji 100 hari memerintah Putrajaya.

Sebelum ini GPMS pernah dilabelkan sebagai macai politik oleh seorang menteri PPBM hanya kerana beliau dikritik oleh kepimpinan NGO itu.

Sumber memberitahu, susulan insiden itu, PPBM kini giat merancang untuk membersihkan persatuan belia itu daripada menjadi macai politik kepada kerajaan.

Jika benar GMPS mahu dikuasai tangan-tangan ghaib ini, maka ia tidak ubah seperti mengulangi kesilapan dan kerakusan pemimpin-pemimpin terdahulu dan tidak mencerminkan semangat Malaysia baharu yang dilaung-laungkan Kerajaan PH hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast