Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kadar caj perkhidmatan di restoran dan kedai-kedai makanan sebanyak 10 peratus adalah agak tinggi.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kadar caj perkhidmatan di restoran dan kedai-kedai makanan sebanyak 10 peratus adalah agak tinggi.

GEORGE TOWN – Kementerian Kewangan meminta para pengendali restoran dan kedai makanan untuk mengurangkan caj perkhidmatan mereka agar tidak membebankan rakyat.

Menterinya Lim Guan Eng berkata kadar caj perkhidmatan di restoran dan kedai-kedai makanan sebanyak 10 peratus adalah agak tinggi.

Katanya kerajaan sekarang sudah memberikan banyak kelonggaran kepada mereka dan diharapkan mereka akan dapat mengurangkan kadar caj perkhidmatan itu.

“Saya berharap para pengendali restoran dan kedai-kedai makanan dapar meneliti semula kutipan caj perkhidmatan mereka sebanyak 10 peratus kerana saya berpendapat kadar itu agak tinggi dan membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Pesta Tanglung di Bukit Bendera di sini hari ini.

Lim berkata beliau faham akan kutipan caj perkhidmatan itu adalah bagi menampung bayaran gaji pekerja restoran dan kedai berkenaan tetapi kadar itu patut dikurangkan.

Terangnya, kerajaan telah banyak beri kelonggaran seperti naikan nilai ambang ke RM1.5 juta ke atas makanan dan minuman, pengecualian cukai terhadap penjualan rokok di bawah nilai ambang RM500,000 dan pengecualian cukai kepada penyewaan warung-warung kecil di kedai-kedai makanan.

“Saya ingin membuat secara baik-baik dan memohon agar para pengendali restoran dan kedai makanan dan minuman akan meneliti semula caj perkhidmatan mereka demi kebaikkan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Lim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih mengakui bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ada menyebabkan kenaikkan harga barang tetapi tidak naik setinggi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau yang mengulas berkata jumlah kutipan SST setahun berjumlah RM21 bilion, manakala jumlah kutipan GST berjumlah RM44 bilion jelas menunjukkan GST lebih membebankan rakyat.

“Impak sebenar pelaksanaan kebaikkan SST berbanding GST akan diketahui setahun kemudian,” katanya.

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Lim akhirnya mengakui pelaksanaan SST menyebabkan kenaikkan harga barang.

— BERNAMA