PORT DICKSON – Polis Negeri Sembilan dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, persediaan yang rapi telah diatur termasuk menggunakan semula gerak kerja PRU yang lepas untuk diaplikasikan pada PRK Port Dickson.

“Pengundi di Port Dickson jangan risau untuk keluar mengundi kerana polis sentiasa mengutamakan kawalan keselamatan dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Lebih 800 anggota polis akan bertugas sepanjang PRK berlangsung dan buat masa ini anggota polis Negeri Sembilan mencukupi tetapi sekiranya memerlukan bantuan anggota daripada kontinjen lain, kami akan maklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,” katanya kepada pemberita pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Port Dickson di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Unit Fotografi Bahagian Bantuan Teknik B6 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Ama,n Superitendan Aidi Sham Mohamed dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Port Dickson berkuat kuasa hari ini.

Aidi Sham, 48, mengisi jawatan yang ditinggalkan Superintendan Zainudin Ahmad, 60, yang bersara setelah berkhidmat selama 41 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dan disaksikan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Beliau yang berpengalaman selama 21 tahun dalam PDRM berikrar akan memberikan perkhidmatan cemerlang dan kejayaan kepada daerah Port Dickson terutama dalam aspek keselamatan penduduk. – Bernama