Mohamad Ariff Md. Yusof

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen perlu memastikan undang-undang berkaitan kebebasan bersuara serta akses kepada maklumat dan kebebasan media memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang berkata, di Malaysia semua kebebasan itu dilindungi di bawah Perkara (2) Perlembagaan Persekutuan dan merupakan sebahagian daripada kebebasan asas setiap individu di negara ini.

“Walau bagaimanapun, jaminan tersebut sememangnya tidak mutlak.

“Mengikut artikel 10 (2) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen diberi hak untuk mengenakan apa-apa rintangan sebagaimana yang difikirkan perlu atau sesuai untuk manfaat kepentingan dan alasan lain yang disebutkan dalam pasal 10 (2),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama kepada anggota Parlimen pada sesi perbincangan dan forum bagi menyelaras undang-undang mengenai kebebasan bersuara, akses kepada maklumat dan kebebasan media mengikut piawaian antarabangsa di Parlimen di sini, hari ini.

Lebih 10 pendiskusi dari tujuh buah negara turut serta dalam sesi perbincangan tersebut.

Mohamad Ariff berkata, media sering digambarkan memiliki kuasa dalam mempengaruhi masyarakat.

Menurutnya, adalah menjadi satu perkara penting untuk mempunyai media bebas dalam melaporkan kebenaran walaupun ia dalam bentuk kritikan negatif terhadap kerajaan.

“Untuk memastikan negara menuju ke arah negara maju, semestinya ada pemeriksaan oleh media bebas agar ada keseimbangan dalam suasana ketelusan dan akauntabiliti, ujarnya.

Tambah beliau, Malaysia berada di tangga ke 145 daripada 180 negara yang mengamalkan indeks kebebasan media di dunia pada 2018 dengan laporan tanpa sempadan yang ditulis oleh wartawan.

Bagaimanapun ujarnya, kedudukan itu bukanlah satu gambaran yang baik dalam usaha menjadikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maju. – MalaysiaGazette