Pekerja memasang banting gergasi Anwar Ibrahim sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2018
Pekerja memasang banting gergasi Anwar Ibrahim sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2018

LUKUT – Tidak berpuas hati dengan penggunaan “cara kempen ala BN” yang menawarkan makan minum percuma dalam kenduri, ahli DAP Port Dickson dilaporkan memboikot satu program kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenduri itu diadakan oleh pertubuhan Cina tempatan bagi berkempen untuk Anwar, tetapi tidak dihadiri oleh penyokong DAP termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa.

Difahamkan, kenduri itu pada asalnya diadakan dengan cara berbayar tetapi bertukar menjadi percuma selepas menerima RM200,000 daripada seorang penyumbang dari Hong Kong.

Sinchew Daily melaporkan, satu-satunya muka DAP yang ada dalam majlis itu ialah Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran yang “terhadir” majlis makan percuma itu.

Kula yang juga Menteri Sumber Manusia dikatakan kebetulan berkempen di Port Dickson dan dijemput untuk hadir pada saat terakhir, tanpa menyedari bahawa ahli parti yang lain telah menolak jemputan.

Ken Hwa ketika ditanya mengenai insiden boikot itu mengakui beliau tidak bersetuju dengan “cara kempen ala BN” tersebut walaupun kenduri telah menerima tajaan sepenuhnya.

“Kenduri seperti ini sentiasa kelihatan pada zaman BN, tatapi ini ialah kerajaan baharu dan cara lama harus ditolak.

“Adalah lebih baik untuk gunakan duit yang ada untuk membantu golongan yang memerlukan dan cara beramal juga dapat meningkatkan populariti Anwar,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak memberi jawapan yang jelas apabila ditanya sama ada telah memboikot majlis makan percuma tersebut.

“Saya tidak hadir kerana ada mesyuarat pada hari majlis diadakan,” katanya. – MalaysiaGazette