Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan sebahagian guru pada Pelancaran E-Tuisyen Percuma Port Dickson sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Grand Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 04 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim teguh dengan pendirian untuk tidak mahu menabur bermacam janji pengundi Parlimen Port Dickson menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) pada13 Oktober ini.

Calon Pakatan Harapan itu berkata, menabur janji bukan pendekatan beliau untuk meraih sokongan undi masyarakat tempatan.

Secara berseloroh katanya, janji bulan dan bintang hanya dibuat anak muda di alam percintaan.

“Saya tidak boleh menabur janji langit dan bumi kerana janji langit dan bumi itu hanya dibuat oleh anak muda di alam bercinta.

“Dia boleh janji kalau bulan jatuh ke riba, kalau bintang tersemat di hati, tetapi itu semua sesuai di alam percintaan sahaja.

“Sebab itu dalam kempen saya tidak mahu berjanji banyak, kecuali satu sahaja iaitu usahakan perubahan ke arah masa depan akan datang yang terjamin untuk semua kaum,” katanya selepas pelancaran program E-PDTuition.com di sini.

Program itu merupakan inisiatif para pendidik dan badan bukan kerajaan memulakan tuisyen dalam talian secara percuma untuk pelajar dari darjah satu hingga Tingakatan 5 semua peringkat sekolah di daerah itu.

Ia dilancarkan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang juga bekas guru Anwar di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Tuisyen percuma dalam talian itu juga mengandungi latihan dan bahan rujukan setiap matapelajaran untuk murid sekolah kebangsaan, sekolah vernakular Cina dan Tamil serta sekolah menengah menepati format pendidikan sedia ada.

Kata Anwar Port Dickson adalah perintis kepada tuisyen percuma dalam talian itu dan beliau bercadang untuk memastikan pejabat Pendidikan Daerah menilai keberkesanan pelaksanaannya.

“Jika berjaya membawa perubahan yang kita harapkan dan saya diberi mandat 13 Oktober ini, insyallah ia akan juga dilaksanakan di Permatang Pauh kawasan asal saya selain bermula dari Perlis hingga ke Sabah demi melahirkan anak-anak Malaysia yang berpengatahuan teknologi maklumat,” tegasnya. – MalaysiaGazette