Paul Pogba. Foto manchestereveningnews

LONDON – Michael Owen berpendapat Paul Pogba mampu menjadi pemain terbaik di dunia jika berada di bawah kendalian Alex Ferguson ketika ini.

Goal.com melaporkan, kenyataan Owen itu seperti memperlekehkan kebolehan pengendali Manchester United, Jose Mourinho yang kini pasukannya diselubungi pelbagai isu selepas kekalahan sebanyak empat kali.

Pogba turut menjadi kambing hitam apabila dia gagal menampilkan aksi sebenar terbaik gara-gara sering bertelingkah dengan Mourinho.

Owen yang pernah menjadi penyerang Manchester United secara terbuka menyuarakan padangannya mengenai hal itu.

“Saya fikir dia pemain yang hebat walaupun dia sering mengecewakan apabila berada di atas padang. Tapi pada usia muda dia sudah banyak pengalaman berbanding sesetengah pemain lama.

“Prestasi Pogba perlu menjadi konsisten kerana semakin matang. Namun di bawah kendalian Mourinho dia gagal menjadi yang terbaik.

“Seandainya dia di bawah oleh Ferguson, dia pasti akan jadi pemain terbaik di dunia,” jelas Owen.

Owen menambah, biarpun Mourinho pernah menguruskan pemain-pemain seperti Mo Salah, Kevin De Bruyne, mereka menjadi lebih hebat selepas berpindah ke pasukan lain.

Malah, Owen juga percaya yang Mourinho perlu bertanggungjawab di atas kekalahan Manchester United. – MalaysiaGazette