KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan buku mengenai bekas Gabenor Bank Negara, Tun Ismail Mohamad Ali yang merupakan iparnya.
Bertempat di Sasana Kijang, Perdana Menteri melancarkan buku tersebut yang bertajuk ‘Tun Ismail Ali – Paragon of Trust and Integrity’.
Buku tersebut ditulis sendiri oleh isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Buku berkonsepkan coffee table setebal 211 muka surat itu ditulis sempena memperingati ulang tahun ke-100 kelahiran bekas gabenor pertama Bank Negara itu.
Allahyarham Ismail menerajui Bank Negara selama 18 tahun bermula pada 1962 hingga 1980.
Ketika diberikan penghormatan untuk berucap pada majlis pelancaran tersebut, Siti Hasmah berkata, allahyarham abangnya merupakan seorang individu yang tegas dan sangat komited dalam segala tugasnya.
Malah, allahyarham juga seorang yang mempunyai pandangan jauh dalam melihat potensi dan perkembangan kemajuan negara.
“Abang saya ni pernah beritahu kepada mak (Siti Khatijah Ahmad) bahawa negara kita ini sebenarnya kaya dan banyak lagi rahsia yang perlu diterokai oleh warganya,” katanya.
Berkongsi pengalaman sebagai seorang adik dengan orang yang paling banyak berjasa dalam keluarga Siti Hasmah berkata, Ismail juga merupakan seorang abang yang sangat menitik beratkan perkembangan ilmu adik-adiknya.
Ketika berada di peringkat menengah, Ismail menggalakkan Siti Hasmah supaya menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depannya tanpa memberikan sebarang alasan.
Siti Hasmah turut memberitahu, bahawa abangnya mempunyai tabiat yang agak pelik apabila suka bermain dengan labah-labah hinggakan serangga itu dikumpul dan dijadikan koleksi.
Ismail meninggal dunia pada tahun 1996 ketika usianya mencecah 79 tahun. – MalaysiaGazette