Datuk Shahril Ridza Ridzuan
Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR- Mempelbagaikan aset syarikat adalah sesuatu yang biasa dalam pengurusan Khazanah Nasional Bhd.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja dilakukan oleh Khazanah Nasional malah sering menjadi agenda firma pengurusan dana serta pelaburan yang lain seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tabung Haji malah organisasi yang diketuainya sebelum ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Kadang-kadang kami memang akan menjual aset lama dan membeli aset baharu pada masa yang sama.

“Ia adalah sebahagian daripada penstrukturan semula portfolio kami. Ia adalah normal,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai laporan yang mengatakan Khazanah Nasional dan PNB telah menyemak semula beberapa aset bukan strategik untuk dijual selepas diarahkan kerajaan.

Bagaimanapun jelas Shahril Ridza, Khazanah Nasional masih belum membuat sebarang keputusan untuk melepaskan mana-mana aset setakat ini dan penstrukturan semula yang dikatakan itu akan bergantung kepada pasaran.

Semalam, penasihat Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, kedua-dua syarikat pelaburan milik kerajaan itu diminta untuk menyemak dan menjual aset-aset bukan strategik mereka sebagai salah satu usaha pengurangan kos kerajaan.

Dalam forum Malaysia: Satu Subuh Baharu anjuran Kementerian Kewangan semalam, Tony berkata, kementerian tersebut akan melihat kepada mana-mana aset bukan teras dan aset bukan strategik kerajaan untuk diteroka bagi memberikan nilai sebenar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast