Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media selepas diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Bilik Gerakkan Utama Pakatan Harapan (BGU), Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terkejut dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Ujarnya, beliau tidak percaya dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bagan Pinang dan Linggi yang menjadi kubu kuat UMNO berjaya dipecahkan.

“Keputusan itu di luar jangkaan kerana undi popular mencecah 70 peratus sedangkan undi popular PRU yang hanya mencecah 48 peratus.

“Ini menggambarkan kepercayaan semua kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli memihak kepada PH

“Dua kawasan DUN yang kita tewas PRU lalu telah kita menang dengan penuh bergaya,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PH sebentar tadi.

Anwar juga melahirkan rasa terkejutnya kerana anggota tentera turut memberikan undi mereka kepada PH.

“Ada beberapa hal yang diperhatikan seperti undi Melayu di beberapa kawasan tewas tips kini menang dengan besar. Undi tentera yang dulu tidak memihak pada kita telah bertambah 122 peratus,” katanya.

Tambah Anwar, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut berbangga dengan pencapaian PH dalam mengekalkan kerusi itu.

“Saya baru menelefon Tun Mahathir dan beliau amat gembira dengan keputusan.

“Saya percaya semangat muafakat Pakatan Harapan dapat dipertingkatkan,” katanya lagi.

Calon Perdana Menteri kelapan itu diangkat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson apabila berjaya meraih majoriti sejumlah 23,560 undi.

Beliau memperolehi sejumlah 31,016 undi, diikuti calon Pas, Mohd Nazari Mokhtar yang menerima 7,456 undi.

Pada PRU14, Datuk Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi. – MalaysiaGazette