Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dipanggil sekali lagi bagi memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, Najib dipanggil kali kedua bagi membantu siasatan berkaitan pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Najib tiba di ibu pejabat SPRM di sini, kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire putih sebelum masuk melalui laluan belakang bangunan berkenaan.

Difahamkan, beliau meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 1.30 petang, juga melalui pintu belakang.

Najib sebelum ini pernah beberapa kali dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM membabitkan kes 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd. (SRCI).

Sebelum ini, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 32 pertuduhan dengan 25 daripadanya membabitkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Tujuh lagi pertuduhan adalah berkaitan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berkaitan syarikat SRCI.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRCI

Selain itu, pada 8 Ogos lalu, beliau didakwa sekali lagi terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada kegiatan haram milik dana SRCI, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Pada 20 September lalu, Najib didakwa lagi berhubung 21 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1), Akta SPRM. – MalaysiaGazette