Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. - foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. - foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Usul untuk merujuk Ahli Parlimen Barisan Nasional Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ditarik balik hari ini selepas beliau membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat.

Permohonan maaf itu diterima oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin selepas berpuas hati apabila Bung Mokhtar berjanji tidak akan mengulangi perbuatan menghina Dewan Rakyat.

“Saya mendapati Yang Berhormat telah berjanji untuk tidak mengulangi di masa hadapan. Saya berharap dan kita harus mengamalkan perbahasan yang berkualiti.

“Jadi tidak bermanfaat dan membuang masa untuk melayan isu-isu remeh yang tidak patut berbangkit langsung di dewan yang mulia ini. Saya harap kita dapat mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah.

“Dengan itu saya menerima permohonan maaf Kinabatangan dan amat berharap Kinabatangan akan dapat mengawal emosi dan tidak mengulangi perkara-perkara yang terjadi.

“Kita hendakkan Malaysia baharu , Malaysia yang bermaruah, bermartabat dan mempunyai dewan yang mulia kelas dunia. Dengan itu saya menarik balik usul yang dikemukakan,” katanya ketika sesi Aturan Mesyuarat dan Usul-usul pada sidang Parlimen, hari ini.

Bung Moktar dilapor mengeluarkan kata-kata kesat itu pada seorang Anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada persidangan Dewan Rakyat 7 Ogos lepas.

Terdahulu Bung Mokhtar mengakui perbuatannya itu satu tindakan tidak berparlimen dan melanggar peraturan mesyuarat 36(4) pada Selasa 7 Oktober 2018.

“Saya amat kesal dengan ungkapan tersebut dan sesungguhnya saya dengan suci hati memohon maaf kepada Tuan Yang di-Pertua dan juga kepada dewan yang mulia ini terutamanya sekali ahli-ahli Parlimen wanita

“Saya memberi jaminan perkara ini tidak akan berulang lagi dan di masa hadapan dan dengan rendah diri berharap permohonan maaf saya ini dapat diterima dengan suci hati terutama sekali Ahli Parlimen Shah Alam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast