Tindakan sekumpulan pemandu teksi membuat kecoh dalam sesi dialog Bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi pagi tadi bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen malah turut menarik perhatian barisan menteri Kabinet.
Tindakan sekumpulan pemandu teksi membuat kecoh dalam sesi dialog Bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi pagi tadi bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen malah turut menarik perhatian barisan menteri Kabinet. - foto Penerangan

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan pemandu teksi membuat kecoh dalam sesi dialog Bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi pagi tadi bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen malah turut menarik perhatian barisan menteri Kabinet.

Rata-rata menyifatkan perbuatan tersebut sebagai biadab dan tidak menghormati perdana menteri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau kesal dengan tindakan segelintir pemandu teksi yang baginya tidak sopan dan kasar.

“Kita boleh berbeda pandangan tetapi mestilah beretika dan tertib dalam pertuturan. Ketegasan YAB @chedetofficial adalah kebijaksanaan demi memikul amanah rakyat,” katanya di laman Twitter.

Di Seremban, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke senada dengan Azmin apabila melahirkan rasa kesal dalam isu berkaitan e-hailing (e-panggilan) yang mencetuskan rasa tidak puas pemandu teksi tersebut.

Katanya, kerajaan telah pun menetapkan dasar untuk membenarkan perkhidmatan itu, justeru kerajaan tidak boleh melayan permintaan pemandu teksi untuk mengharamkan syarikat e-panggilan yang menggunakan kereta persendirian.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman pula berkata: “Ayahanda @chedetofficial , Don’t be sad and please don’t give up on us.

“Mustahil untuk kita memuaskan hati semua orang. Selagi niat dan usaha di tempat yang betul, inshaallah kita akan berjaya bersama.”

Majlis perjumpaan Dr Mahathir bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi kecoh seketika apabila beberapa orang anggota persatuan bertindak biadap keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan Grab.

Sekitar 10 orang pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas Perdana Menteri berkata beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Kekecohan itu hanya berlaku sekitar dua minit dan selepas keadaan reda, Tun Mahathir berkata beliau sebagai Perdana Menteri hanya cuba untuk membantu golongan pemandu teksi ini untuk memulihkan kembali pendapatan mereka.

“Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendirilah. Tengok apa jadi. Saya nak tolong. Tapi kalau tak ada bantuan kepada saya, saya tak boleh tolonglah.

“Saya bukan nak jadi Perdana Menteri. Saya bersara dah tapi orang panggil balik. Sebab itu saya datang. Kalau tak nak saya jadi Perdana Menteri hari ini pun saya letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” katanya. – MalaysiaGazette

‘Kalau tak nak saya jadi PM, hari ini pun saya letak jawatan’ – Mahathir