PUTRAJAYA – Serang individu tapi jangan sesekali ungkit soal keturunan.
Itu nasihat Tokoh Maal Hijrah 2018, Datuk Dr. Siddiq Fadzil ketika menegur sindiran pihak-pihak tertentu yang cuba mengungkit latar belakang individu tertentu ketika berceramah kepada umum.
Presiden Kolej Dar Al-Hikmah itu menegaskan, tidak perlu mendedahkan keturunan seseorang lebih-lebih lagi dengan niat agar individu itu menjadi bahan lawak.
“Cukup sekadar menceritakan tentang individu itu. Tak payahlah cerita keturunannya. Kalau dia itu dari Ponorogo, Indonesia, saya juga Jawa dari sana,” katanya yang kemudian disambut dengan tawa oleh para hadirin ketika menyampaikan forum yang bertajuk Dunia Melayu dan Islam, Cabaran dan Masa Depan di Wisma Putra hari ini.
Walaupun tidak menyatakan siapa yang dimaksudkan namun dipercayai Siddiq berkata demikian sebagai teguran sinis terhadap pihak-pihak yang menjadikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai sindiran ekoran beliau berketurunan Jawa.
Dalam satu temubual dengan sebuah stesen televisyen di Jakarta sebelum ini, Ahmad Zahid mengakui dirinya berketurunan Jawa dari keturunan Ponorogo.
Video tersebut ditularkan kembali oleh pihak-pihak tertentu sebelum PRU-14 lalu dipercayai bermotifkan politik ekoran Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pernah mendedahkan identiti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan melabelkannya sebagai kutti.
Dalam pada itu, mengenai keturunannya dari Ponorogo, Siddiq menegaskan, orang Melayu di negara ini juga perlu tahu bahawa Islam yang terbesar adalah di Tanah Jawa.
Hadir sama pada forum berkenaan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. – MalaysiaGazette