PUTRAJAYA- PKR sama sekali tidak akan berpatah balik menggunakan sistem manual dalam pemilihan parti walaupun kaedah e-voting yang baharu diperkenalkan tahun ini telah menimbulkan banyak masalah dan kekecohan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, semua isu telah diberi pertimbangan sejak dari awal lagi dan langkah-langkah perlu sedang diambil bagi memperkukuh sistem tersebut.
“Semasa kami mengambil keputusan untuk melaksanakan kaedah e-voting, kami telah mengambil kira semua kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku.
“Kami tidak akan berpatah semula (kepada sistem manual) kerana kami berpendapat, kami tetap perlu bermula (menggunakan kaedah baharu),” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Tambah Saifuddin, masalah teknikal yang menganggu kelancaran kaedah e-voting itu hanya berlaku di beberapa lokasi sahaja ada beberapa kejadian kekecohan semasa pemilihan parti terjadi akibat masalah sikap ahli dan bukannya kerana sistem.
Ketika ditanya mengenai rungutan sesetengah pihak terutamanya warga emas yang tidak mahir menggunakan komputer, beliau menjelaskan, petugas-petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah dipertanggungjawabkan untuk membantu golongan tersebut.
Buat pertama kalinya, pemilihan PKR kali ini menggunakan pengundian dibuat secara dalam talian menerusi e-voting.
Walaupun bertujuan untuk melancarkan dan mempercepatkan proses pengundian melibatkan lebih 800,000 anggota parti, sistem baharu itu bagaimanapun telah menimbulkan kekecohan di beberapa cabang kerana mengalami masalah teknikal di samping kekurangan kaunter untuk mengundi sehingga menyebabkan ramai pengundi perlu menunggu berjam-jam.
Kaedah e-voting juga telah menimbulkan kekeliruan kepada pengundi kerana masih belum mahir menggunakan sistem tersebut.-MalaysiaGazette