Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (tiga kiri) dan Bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu (tiga kanan) ketika hadir pada Perhimpunan Agung MIC Ke 72 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 27 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan dijenamakan semula selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang turut menyaksikan sembilan parti komponennya telah keluar.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan penjenamaan semula itu BN akan dikenali dengan nama baharu dan mempunyai beberapa parti komponen baharu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, tarikh perbincangan itu dan apa strukturnya akan diserahkan kepada Setiausaha Agun BN yang baharu, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

“Ini adalah hala tuju BN yang baru. Kita akan berikan penjenamaan baru dengan struktur dan bidang tugas yang baharu.

“Tugas dan tanggungjawab penstrukturan semula yang mengandungi parti teras dan gabungan ini kita serahkan kepada Nazri,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama Perhimpunan Agung MIC ke-72 di Dewan Tun Razak 1, PWTC di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, BN harus mengorak langkah lebih bersepadu sebagai parti pembangkang yang menampilkan beberapa kaedah bagi menarik semula sokongan rakyat.

Kata beliau, dalam perbincangan itu nanti mereka turut mengambil kira kebimbangan rakan-rakan komponen dan apakah langkah jangka panjang dan jangka pendek yang akan diambil untuk membentuk semula kerajaan pada PRU 15.

“Kita harap rakyat akan bersama kita kerana kerana BN yang berjenama baharu ini menjanjikan sesuatu yang baharu kepada rakyat, setelah mereka kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak dapat menunaikan janji,” katanya. – MalaysiaGazette