GEORGE TOWN – Tempoh dan tarikh bagi menjalankan siasatan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa sembilan pekerja asing di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong akan ditetapkan pada minggu hadapan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya percaya pengerusi jawatankuasa khas untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu iaitu Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman akan menyempurnakan tugas (siasatan) tersebut dalam masa terdekat.

“Kita tahu semua orang sangat berminat dan mahu tahu apakah punca dan sebab sebenar berlakunya tanah runtuh di Bukit Kukus.

“Saya percaya dan berharap juga minggu akan datang pengerusinya dapat tetapkan tempoh yang diperlukan dan tetapkan tarikh bermesyuarat supaya tugas ini dapat disempurnakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ceramah Motivasi Pecutan Terakhir SPM 2018 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bahagian Tanjong di sini hari ini.

Rabu lepas, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan menubuh sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu yang turut dianggotai Exco Kerja Raya Zairil Khir Johari, seorang jurutera daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan wakil Institut Kejuruteraan Malaysia negeri.-BERNAMA