Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin tidak berpuas hati dengan kelewatan awatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR bertindak terhadap tindakan sabotaj dan dakwaan amalan politik wang yang berlaku semasa pemilihan parti itu.

Mengulas tentang penemuan ‘jammer’ di lokasi pemilihan di Cabang Kuala Selangor semalam, ia merupakan jelas bukti berlakunya sabotaj.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR perlu menanganinya, kata beliau.

“Polis telah sahkan jumpa ‘jammer’ di lokas pemilihan Kuala Selangor. Ia jelas berlakunya sabotaj, dan ini sangat serius sebab pemilihan parti semakin serius.

“Mereka tidak boleh lagi berada dalam sindrom penafian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Zuraida, kegagalan membendung isu-isu yang tercetus dalam pemilihan hanya menyusahkan petugas yang membuat persediaan daripada awal dan ahli yang akan mengundi.

“Mereka perlu buat sesuatu tentang undi hilang, pengurusan pemilihan, isu politik wang dan yang terbaru adalah penemuan ‘jammer’.

“Saya tidak terkejut ia dilakukan sebelum ini lebih awal di tempat lain. Saya terkejut, mereka membatalkan pemilihan yang menyusahkan ahli di Kuala Selangor yang sudah membuat banyak persediaan dan perlu melakukannya semula. Ini akan mengecewakan,” tambahnya.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR, Syed Husin Ali semalam berkata, pihaknya tidak pernah menerima aduan berhubung amalan politik wang daripada calon pemilihan parti.

Katanya, calon tidak menggunakan saluran dalaman membuat aduan berhubung pemilihan parti, sebaliknya hanya mengadu kepada media.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan tanpa aduan rasmi kerana ia memerlukan bukti kukuh.

Dalam masa yang sama beliau tidak menolak konvensyen PKR akan lewat diadakan kerana masalah-masalah yang tercetus pada pemilihan parti itu.

Untuk rekod, sebahagian daripada 30 peratus undi ahli PKR yang didakwa hilang pada pemilihan fasa satu di Kedah disebabkan kertas undi yang tidak dikembalikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast