Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan beberapa pegawainya telah memilih untuk bercuti sementara Bank Pusat itu diminta melaksanakan penilaian semula pembelian tanah.

Pemintaan itu telah dibuat pada bulan Ogos lalu.

“Pada bulan Ogos 2018, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meminta diadakan satu penilaian semula pembelian tanah Lot 41 oleh penilai bebas.

“Penilaian tersebut masih berjalan. Bagi memastikan penilaian dalaman ini berjalan dengan lancar, beberapa pegawai BNM yang berkenaan telah memilih untuk bercuti sehingga penilaian selesai,” kata BNM dalam satu kenyataan pendek.

Kenyataan itu bagi menjawab mengenai empat pegawai Bank Pusat yang diarah bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung transaksi pembelian tanah seluas 22.58 hektar itu dibeli pada harga RM2 bilion pada tahun lalu.

Pembelian tanah itu menjadi isu selepas transaksi itu dikatakan mahal dan duit berkenaan digunakan bagi melunaskan hutang 1Malaysia Development Berhad.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan jumlah pegawai terbabit. – MalaysiaGazette

4 pegawai BNM terlibat pembelian tanah RM2b diarah bercuti