KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah menyerahkan dokumen pengisytiharan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, penyerahan dokumen pengisytiharan harta anggota Parlimen PH yang lain akan mengambil sedikit masa kerana terdapat borang yang dihantar melalui pos.
“Kita juga memberi kelonggaran pengisytiharan harta kepada ahli parlimen PH baharu seperti Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baharu menyertai Bersatu.
“Pengisytiharan harta tidak begitu rumit, seseorang hanya perlu mengisi butiran hartanya dan anak-anaknya yang berumur 21 tahun ke atas. Kita perlukan masa untuk mengumpul data,” katanya di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Menurut Liew, pengisytiharan harta ahli parlimen PH itu hanya melibatkan aset selepas menjadi ahli parlimen dan mereka memberikan kerjasama yang baik dalam pelaksanaan perkara itu.
SPRM pada asalnya menetapkan untuk memaparkan pengisytiharan harta anggota parlimen PH diportal suruhanjaya itu pada 1 Oktober, bagaimanapun ia ditangguhkan hingga 15 Oktober.
Namun kini telah dilanjutkan lagi tempoh tersebut sehingga tarikh yang belum diputuskan. – Bernama