Justo
Xavier Andre Justo. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Xavier Andre Justo, pemberi maklumat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), gembira apabila pengakuannya berkaitan skandal 1MDB kini membuahkan hasil.

Justo, yang berasal dari Switzerland berkata, mereka yang terbabit secara langsung dalam skandal itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan, dan menambah, dirinya tidak bersalah serta tidak melakukan sebarang kesalahan.

Beliau berkata demikian apabila ditanya perasaannya setelah mengetahui seorang demi seorang yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes itu kini dihadapkan ke muka pengadilan.

“Sudah tentu saya berasa gembira. Saya dipenjarakan selama 18 bulan. Jauh daripada anggota keluarga.

“Melihat mereka didakwa secara rasmi, bukanlah sesuatu yang saya suka. Bukanlah perkara yang menyeronokkan untuk melihat mereka menderita, sebaliknya satu kepuasan apabila melihat keadilan ditegakkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-10 mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2018, di sini hari ini.

Pada 22 Jun 2015, Justo ditahan di rumahnya di pulau Koh Samui, Thailand, selepas pegawai PetroSaudi memfailkan aduan bahawa Justo cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, pada Disember 2016, Justo adalah antara beribu-ribu banduan warga asing yang diperkenankan pengampunan diraja.

Justo turut mengaku terdapat pihak berkuasa Malaysia yang datang bertemunya sebelum ini di penjara Bangkok dan antara mereka ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

“Saya terpaksa ‘mengaku’ bahawa saya mencuri serta memanipulasi data dan bahawa saya bekerja dengan seorang ahli politik pembangkang Malaysia dengan bantuan seorang wartawan. Dan perjanjian PetroSaudi-1MDB adalah sah dan adil, dan Mr Razak itu (Datuk Seri Najib Tun Razak) seorang yang baik.

“Soalan dan jawapan diberi kepada saya sehari sebelum kedatangan delegasi dari Malaysia. Mereka bertanyakan 55 soalan (yang diberikan lebih awal). Saya mendapat soalan dan jawapan sehari sebelum itu,” dakwa Justo.

Bagaimanapun, Justo enggan menamakan dua lagi anggota dari Malaysia itu.

Berbilion Ringgit telah diseleweng daripada dana 1MDB menggunakan transaksi yang kabur dan syarikat luar persisir yang tidak wujud.

Setakat ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berdepan beberapa dakwaan berkaitan skandal 1MDB.

Singapura turut mengambil tindakan terhadap beberapa profesional kewangan berhubung skandal 1MDB. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast