JAKARTA – Juruterbang Lion Air yang terbang dari Bali pada Ahad lalu telah membuat amaran selepas berlepas kerana wujud masalah teknikal bagi pesawat Boeing 737 MAX.
Namun, juruterbang itu sekali lagi memaklumkan kepada menara kawalan bahawa pesawat tersebut boleh terbang secara normal dan kemudian meneruskan penerbangan ke Jakarta.
Ia merupakan pesawat yang sama terhempas di perairan Indonesia dan mengorbankan 189 orang penumpang.
“Juruterbang itu yakin boleh terbang ke Jakarta dari Denpasar,” kata Henson, Ketua Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Bali-Nusa Tenggara.
Seorang juruterbang dalam pesawat lain yang juga berlepas dari Bali selepas penerbang Lion Air berlepas berkata, dia telah diarahkan untuk mengelilingi lapangan terbang dan mendengar perbualan radio antara juruterbang Lion Air dan pengawal trafik udara.
“Oleh kerana panggilan Pan-Pan, kami diberitahu untuk menangguhkan, mengelilingi lapangan terbang di udara,” kata juruterbang, yang enggan disebutkan namanya.
“Pesawat Lion itu diminta untuk kembali ke Bali lima minit setelah berlepas, tetapi juruterbang itu berkata masalah tersebut sudah selesai dan akan meneruskan penerbangan ke Jakarta,” katanya.
Juruterbang menggunakan panggilan ‘Pan-Pan’ – menandakan situasi mendesak.
Penerbangan dari Denpasar ke Jakarta selamat mendarat di ibu negara Jakarta pada pukul 10.55 malam Ahad.
Pesawat sama – Boeing 737 Max – kemudian berlepas pada pukul 6.20 pagi untuk ke Bangka di Sumatera tetapi terhempas di dalam laut selepas 13 minit.
Sebelum terhempas, juruterbang pesawat itu ada membuat permohonan untuk berpatah balik.
Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air, Edward Sirait berkata, masalah teknikal yang berlaku sebelum ini telah diatasi mengikut prosedur.
Susulan nahas itu, Kementerian Pengangkutan Indonesia telah menggantung kerja Pengarah Teknikal dan tiga pegawai lain Lion Air. – MalaysiaGazette