Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Apa yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengesahkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam melebihi RM1,000 sebulan bermakna kerajaan mewajibkan potongan gaji kepada semua peminjam bergaji RM1, 000 ke atas.

“Ini menunjukkan apa yang dijanjikan oleh Kerajaan PH untuk memulakan bayaran balik ditangga gaji RM4,000 dengan sendirinya tidak dilaksanakan sebaliknya mewajibkan pula potongan gaji bermula pendapatan RM1,000 ke atas,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Shamsul Anuar yang juga mantan Pengerusi PTPTN memberitahu, sebelum ini, PTPTN memang melaksanakan sistem bayaran balik melalui potongan gaji namun ia bukanlah suatu yang wajib sebaliknya dilaksanakan atas persetujuan peminjam.

“Jadi apa yang dilakukan kerajaan PH ini bertentangan dengan Janji 100 Hari PH.

“Kerajaan PH juga mencadangkan potongan pinjaman kepada peminjam daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama yang difahamkan untuk peringkat jjazah sahaja.

“Dasar baru ini bermakna bukan semua peminjam mendapat keistimewaan ini,” katanya lagi.

Selama ini, katanya, polisi ‘pengecualian bayaran’ telah dilaksanakan kepada lepasan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Sejak dilaksanakan oleh PTPTN sehingga Mac 2018 sejumlah 45,000 pelajar mendapat nikmat itu dengan hampir RM1.5 bilion PTPTN belanjakan.

Bagaimanapun dasar baru kerajaan PH itu hanya akan dinikmati oleh peminjam B40 sahaja malah kemungkinan potongan pinjaman juga bermaksud bukan pengecualian bayaran sebaliknya hanya dipotong pinjaman mengikut peratus tertentu sahaja.

Ini bermakna apa yang Kerajaan BN lakukan sebelum ini adalah betul. Umpamanya pelepasan cukai yang diumumkan dari RM6,000 kepada RM8,000 adalah lanjutan dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Hakikatnya sekali lagi rakyat ditipu kerana disebut tadi beberapa perkara yang diumum terutama berkaitan potongan gaji ternyata menunjukan Kerajaan PH tidak menunaikan janji iaitu menangguhkan bayaran balik bagi gaji di bawah RM4,000 dan tiada lagi ‘pengecualian bayaran’ sebaliknya ‘potongan pinjaman’ yang hanya dinikmati oleh mereka dalam kalangan B40 sahaja.

“Sebetulnya, dalam apa keadaan pun Bajet Kerajaan PH 2019 nampaknya masih gagal mengemukakan program atau dasar dasar baru yang lebih jelas. Hampir kebanyakan diumumkan adalah apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN dahulu,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast