Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Rakyat hanya boleh bermimpi, tetapi tidak boleh mengharap dengan Belanjawan 2019 kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, rakyat terutama yang kehidupan mereka terhimpit tertunggu-tunggu pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan mengharapkan kerajaan baharu ini membawa kelainan dan pembaharuan dalam pentadbirannya.

Malangnya, kata beliau, harapan mereka hampa setelah dua jam pembentangan, tiada yang istimewa dari kerajaan PH, melainkan lebih kepada menyambung initiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikutuk dan dihina pemimpin PH selama ini.

“Semuanya hambar dan tidak banyak initiatif baharu. Apa yang jelas hanya mengulangi dan menyambung initiatif kerajaan BN yang terdahulu.

“Harapan rakyat pada Belanjawan 2019 sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan mereka dari kesengsaraan ketika ini. Kami juga sebagai blok pembangkang mengharapkan satu kelainan dan pembaharuan yang kelas tersendiri seperti yang digembar gemburkan sebelum ini.

“BR1M dituduh dedak dan rasuah, namun dalam Belanjawan 2019 kali ini ianya diteruskan dengan mengurangkan jumlah kepada RM1,000 bagi yang berpendapatan RM2,000 ke bawah, RM750 bagi pendapatan RM2,001 hingga RM3,000 dan RM500 bagi pendapatan RM3,001 hingga RM4,000,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi blog beliau, semalam.

Menurut Ismail Sabri, kenyataan kerajaan PH sebelum ini bahawa mereka tidak akan memberi duit percuma kepada rakyat, telah ditelan tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Jelas beliau, harapan masyarakat luar bandar untuk mengurangkan kesengsaraan mereka ketika ini juga tidak kesampaian, yang mana seperti diketahui umum, harga getah dan kelapa sawit merudum dengan teruk sekali.

“Harga getah RM1.80 sekilogram hanya membolehkan mereka memperolehi pendapatan sekitar RM8 hingga RM10 sehari. Sekilogram getah tidak mampu untuk membeli sekilogram gula untuk mereka.

“Begitu juga harga buah tandan segar kelapa sawit kini di sekitar RM370 satu tan. Selepas ditolak upah dan pembelian input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain, maka pendapatan bersih mereka sekitar RM200 sahaja.

“Harapan mereka tentu ada insentif baru dari kerajaan, namun yang diumumkan adalah bio diesel, jalan berasaskan getah dan harga lantai getah sebanyak RM2.20 yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, tidak adapun insentif baru, strategi atau kaedah untuk menstabilkan harga bagi menambahkan pendapatan golongan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast