Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului saingannya Rafizi Ramli dalam mempertahankan jawatan yang disandangnya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu di 25 cabang di Sabah.

Cabang PKR yang mengadakanpemilihan selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad ialah Kota Kinabalu, Sepanggar, Tuaran, Kota Marudu, Sandakan, Libaran, Batu Sapi, Tawau, Kalabakan, Keningau, Sipitang, Beaufort, Putatan, Penampang, Kimanis, Papar, Tenom, Pensiangan, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beluran, Kinabatangan, Silam, dan Semporna.

Berdasarkan laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 Azmin mendahului Rafizi dengan majoriti 1,642 undi.

Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan menerusi laman sesawang itu turut menyaksikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menang di 14 cabang iaitu Keningau, Libaran, Sepanggar, Sandakan, Beaufort, Tawau, Kalabakan, Kudat, Putatan, Papar, Ranau, Tenom, Beluran, dan Silam.

Manakala Rafizi pula menang di 11 cabang iaitu Kota Marudu, Tuaran, Batu Sapi, Kota Kinabalu, Sipitang, Kota Belud, Penampang, Kimanis, Pensiangan, Kinabatangan, dan Semporna.

Keseluruhan Azmin memperoleh 11,466 undi, manakala Mohd Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mendapat 9,824 undi.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Rashid Din dipetik sebagai berkata, keputusan bagi semua 25 cabang di Sabah dibuat setelah Peti Undi Ragu dibuka.-MalaysiaGazette