KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak berhasrat untuk menetapkan harga lantai getah sekerap kerana akan melibatkan peruntukan yang tinggi.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, sekiranya harga lantai getah sekerap ditetapkan pada RM4 sekilogram berdasarkan pengeluaran 2017, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tambaan sebanyak RM2.5 bilion setahun.
Kerajaan juga katanya, tidak dapat mempertimbangkan cadangan tersebut kerana bakal membuka ruang kepada aktiviti spekulasi harga dalam kalangan penjual getah dengan menekan harga ke paras rendah dan mengharapkan kerajaan untuk menampung perbezaan di antara harga pasaran dan harga lantai.
Penetapan harga lantai juga menurut Teresa akan meningkatkan aktiviti penyeludupan getah dari luar negara memandangkan harga tempatan adalah lebih tinggi berbanding dengan harga antarabangsa.
Disebabkan itu, kerajaan masih meneruskan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diwujudkan untuk meringankan beban pendapatan pekebun kecil di samping memberi galakan untuk mereka terus menoreh sewaktu harga rendah di pasaran.
“Insentif ini hampir sama dengan konsep harga lantai kerana IPG akan diaktifkan apabila purata harga bulanan SMR 20 pada bulan sebelumnya kurang dari RM5.50 sekilogram atau harga di lading untuk getah sekerap adalah di bawah RM2.20 sekilogram.
Perbezaan harga akan ditampung oleh kerajaan bagi pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seramai 450,568 pemilik kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang layak memohon IPG sejaktahun 2015.
Sejak diperkenalkan sehingga 31 Ogos 2018, sebanyak 783,877 bilangan permohonan tuntutan telah diluluskan melibatkan peruntukan RM90.94 juta.-MalaysiaGazette