Dr Mazlina Abu Bakar
Aktivis Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Mazlina Abu Bakar (kanan) bercakap pada sidang media semasa membuat laporan polis selepas diugut sambil ditemani Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (dua kanan) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2018

AMPANG – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membuat laporan polis selepas aktivis wanitanya, Dr Mazlina Abu Bakar diugut bunuh dipercayai selepas mempersoalkan projek terbengkalai SiberTel di Bangi.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan mendakwa, ugutan itu dibuat oleh individu tidak dikenali dengan meninggalkan nota berdarah serta pisau di hadapan kediaman Dr Mazlina, Ahad lepas.

“Sebelum itu, ada kejadian pecah rumah dan tidak lama kejadian itu, ada pula pisau diletak di depan pintu Dr Mazlina.

“Ini berkaitan dengan SiberTel yang mana mesej ugutan mengatakan jangan ganggu usaha ini kalau nak hidup senang,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Ahad lalu, Mazlina yang pulang dari rumah ibunya di Taman Keramat mendapati ada sekeping nota beserta sebilah pisau diletakkan di hadapan pintu kediamannya di sini kira-kira 11 malam.

Dalam nota ugutan itu tertera mesej: ‘Amaran, jangan menghalang dan masuk  campur dalam urusan Sibertel. Jika tak nak hidup susah, ini amaran akhir’.

Dr Mazlina Abu Bakar
Reaksi Aktivis Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Mazlina Abu Bakar semasa membuat laporan polis selepas diugut di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2018

Sementara itu, Mazlina yang ditemui di luar pekarangan IPD Ampang Jaya juga mendakwa, ugutan itu tidak sepatutnya timbul kerana kes projek asrama SiberTel itu pada mulanya hanya melibatkan isu muflis ke atas pemilik unit hartanah terbabit.

“Bukan ugutan yang saya takut tapi kesannya kepada saya sampai ada yang mencurigakan, kenapa sampai ugutan itu perlu dibuat.

“Kes ini melibatkan lebih 300 orang pemilik. Ia bermula daripada aduan kes muflis sahaja.

“Kalau kes ini hanya melibatkan muflis sahaja, kenapa sampai ugut begini dan sudah setahun kita uruskan kes ini,” katanya.

Dakwa Mazlina lagi, ugutan itu timbul selepas pihaknya mendesak pelbagai pihak yang terlibat dengan projek asrama SiberTel yang terbengkalai sejak 13 tahun lalu termasuk Kerajaan Negeri Selangor.

“Sebenarnya banyak pihak yang enggan bekerjasama kerana SiberTel terletak di Selangor dan sangat mencurigakan apabila kebenaran membangunkan semula dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor semasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita dari dulu desak beberapa kali minta jawapan. Kes ini kita dah buat setahun sejak Julai 2017, kita berhenti sekejap masa pilihan raya untuk peralihan kuasa.

“Kita mulakan semula sejak sebulan lalu termasuk beberapa desakan kepada pejabat Menteri Besar Selangor,” katanya.

Beliau yakin ugutan itu juga dibuat terhadapnya kerana desakan pihaknya  telah menggugat kredibiliti pemaju, Rising Charm Sdn. Bhd.

“Saya rasa perkara ini amat berkaitan dengan situasi tersebut (desakan). Ada pihak-pihak yang sangat tergugat kerana kita minta jawapan macam mana kebenaran membangunkan semula dikeluarkan.

“Kita minta pejabat Menteri Besar membantu menyelesaikan perkara ini dengan sebaik mungkin dan kita harap tiada yang kena ‘sembelih’,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast