Datuk Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei tidak berhasrat untuk bersara dari dunia badminton negara susulan kesihatannya semakin pulih daripada kanser hidung yang dihidapinya sejak bulan lalu.

Chong Wei mengakui walaupun beliau tidak sabar untuk masuk ke gelanggang namun beliau perlu mengutamakan kesihatannya sebelum kembali beraksi dalam mana-mana kejohanan badminton.

“Ini negara saya dan saya amat menyayangi sukan ini dan tak mungkin saya bersara.

“Di Taiwan ada tujuh doktor merawat saya dan mereka semua juga adalah peminat saya dan mahu saya kembali semula,” katanya pada sidang media di Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini, hari ini.

MGF08112018_BAMLCW_05
Pemain Badminton Negara, Datuk Lee Chong Wei bercakap pada sidang media bagi meneruskan kariernya sebagai pemain Badminton meskipun masih menjalani rawatan penyakit yang dihadapinya di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 NOVEMBER 2018.

Pada 22 September lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jaguh nombor satu itu menghadapi kanser hidung selepas pelbagai spekulasi mengenai kesihatannya timbul.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menerusi satu kenyataan sebelum ini juga mengesahkan bahawa jaguh negara itu sedang menjalani rawatan di Taiwan.

Chong Wei juga menjangkakan beliau akan kembali beraksi selewat-lewatnya Disember depan, namun ia bergantung kepada tahap kesihatannya.

“Paling penting adalah jaga kesihatan. Saya tak tahu sama ada saya boleh kembali Disember depan atau tidak.

“Dua bulan setengah saya berada di Taiwan jalani rawatan. Sekarang ini kesihatan saya lebih penting. Saya boleh kata saya sangat sayangkan badminton,” katanya.

Katanya lagi, ketika ini beliau masih meneruskan rawatan kanser sebanyak tiga kali sebulan dan keadaannya semakin pulih dengan sokongan ahli keluarga yang turut menemaninya ketika di Taiwan sebelum ini.

“Saya kena jalani rawatan setiap tiga kali sebulan. Keluarga saya memang tak mahu saya kembali ke gelanggang.

“Keutamaan saya sekarang ialah kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette