Marzuki Yahya
Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR – Niat pemimpin Gerakan Merah 1Malaysia, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terbantut apabila parti itu menolak bulat-bulat borang permohonannya.

Menurut Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya, parti itu tidak memerlukan individu seperti Ali Tinju yang disifatkannya sebagai ‘rosak mental’.

“PPBM tidak memerlukan ahli seperti Ali Tinju dan susah untuk menerimanya ke dalam parti.

“Pelbagai spekulasi timbul apabila Ali Tinju menyerahkan borang permohonannya kepada saya semalam. Sekarang saya ingin mengesahkan permohonannya ditolak kerana kita tidak lupa apa yang dia lakukan selama ini,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Semalam, Malaysia Gazette melaporkan penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najb itu memohon menyertai PPBM.

Semalam tersebar satu gambar yang menyaksikan Ali Tinju menyerahkan borang permohonannya kepada Marzuki pada satu majlis membabitkan program asnaf di Bandar Tun Razak.

Dalam pada itu, Marzuki berkata, beliau hanya sekadar menerima borang permohonan yang dikemukakan Ali Tinju pada majlis berkenaan dan tidak menerima terus Ali sebagai ahli PPBM.

“Saya berada di program itu untuk menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf dan tiba-tiba penganjur memberitahu ada orang nak serahkan lebih 500 borang permohonan baru.

“Selepas itu ada lagi pengumuman memberitahu Ali Tinju pula ingin menyerahkan borang. Dia datang dengan cara yang baik, jadi saya pun terima borang permohonannya dengan cara yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette