Mohamad Sabu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berucap pada Forum Perspektif Strategik Serantau: Ancaman Asimetrik Abad ke-21 Terhadap Pertahanan Negara di Auditorium Intan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Ancaman asimetrik menjadi lebih mencabar dan susah ditangani pada hari ini berbanding ancaman keselamatan tradisional.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, ini kerana pada kebiasaan pelakunya adalah warga pelbagai negara yang bergerak secara terancang atau individu yang didorong oleh fahaman ekstrim.

Jelas beliau, walaupun ancaman asimetrik tidak melibatkan ketenteraan, sering kali penggunaan senjata api atau senjata pemusnah digunakan untuk mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan orang awam.

“Ancaman asimetrik melibatkan ke semua domain sama ada darat, udara, maritim dan siber atau alam maya.

“Justeru menjadi rumit bagi menangani ancaman asimetrik berbanding ancaman keselamatan tradisional yang boleh dikendalikan melalui diplomasi pertahanan secara dua hala atau pelbagai hala bagi mengurangkan ketegangan antara negara.

“Ancaman asimetrik juga boleh berlaku secara semula jadi seperti bencana alam yang berlaku di Palu, Indonesia baru-baru melibatkan kehilangan dan kematian ribuan nyawa yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk Perspektif Strategik Serantau: Ancaman Asimetrik Abad ke-21 Terhadap Pertahanan Negara di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.

Mohamad menambah, kementeriannya dan ATM perlu bersedia menghadapi ancaman asimetrik dan pada masa sama berkeupayaan menghadapi ancaman tersebut.

Jelas beliau tidak dinafikan ATM telah dilengkapi untuk menghadapi ancaman asimetrik kerana menjadi tanggungjawab utama seperti yang diperuntukan dalam dasar pertahanan negara.

“Sungguh pun begitu, ATM perlu mengimbangi pembangunan keupayaan agar dapat menangani segala jenis keselamatan seperti diharap rakyat.

“Kementerian juga kini sedang menyediakan Kertas Putih Pertahanan bagi mengutarakan dasar pertahanan negara yang terkini dan dapat menangani cabaran keselamatan hari ini dan masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette