PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, mana-mana pelajar yang dipaksa mengadakan hubungan seks dengan tenaga pengajar sekolah bagi membolehkan mereka lulus dalam peperiksaaan patut membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Ujarnya, mereka yang berbuat aduan akan dilindungi oleh pihak Kementerian Pendidikan kerana perkara ini serius dan perlu dibendung segera.

“Apa saja yang berlaku (di sekolah) minta pihak yang terlibat untuk laporkan pada pihak polis dan jangan sembunyikan.

“Kita takkan toleransi, kalau memang laporan, kita akan ambil tindakan,” katanya kepada media selepas menghadiri Forum Permuafakatan Peringkat Kebangsaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hari ini.

Maszlee mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull bahawa terdapat guru sekolah yang meminta khidmat seks daripada pelajar bagi meluluskan mereka daripada peperiksaan.

Awal hari ini, Shukri mendedahkan perkara itu berlaku di sebuah sekolah di negara ini namun tidak mendedahkan sekolah mana perkara itu berlaku.

“Ada kes guru meminta ‘anu’ (seks) daripada pelajar bagi membolehkan lulus peperiksaan,” katanya sebagai ahli panel dalam Forum Permuafakatan Peringkat Kebangsaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelas Maszlee, pihak kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat apa-apa tindakan sekiranya tiada laporan polis dibuat terhadap dakwaan itu.

“Kalau ada report kita akan pergi. Tapi kalau tidak ada laporan kita taktau mcm mana nak buat.

“Kita takkan kompromi perkara-perkara sebegini. Kita nak pastikan sekolah adalah tempat paling selamat terhadap pelajar dan guru-guru. -MalaysiaGazette