Syed Ali
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee bercakap kepada media pada Majlis Penyampaian Sijil Tabika KEMAS Cheras 2018 di Kolej Antarabangsa Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee masih berkira-kira untuk menghantar borang permohonan bagi menyertai parti politik dalam Pakatan Harapan (PH) kerana bimbang borangnya ditolak bulat-bulat oleh parti berkenaan.

Katanya, parti-parti politik dibawah PH mungkin tidak senang dengan kelantangan beliau semasa berada di dalam UMNO.

“Pasal itu saya tidak mahu begitu (borang permohonan ditolak),” katanya kepada media selepas mengiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dalam majlis penyampaian sijil Tabika Kemas Parlimen Cheras di Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) hari ini.

Syed Ali bertindak keluar UMNO pada September lalu, dengan memberi alasan “demi menjaga survival orang Melayu di Wilayah Persekutuan”.

Bekas Setiausaha Agung UMNO Wilayah Persekutuan itu sebelum ini terkenal sebagai seorang pemimpin UMNO yang lantang dalam mengkritik PH.

Dalam pada, Syed Ali berkata, beliau masih belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana parti.

“Setakat ini tidak ada tawaran dari mana-mana lagi.

“Saya tidak mohon mana-mana parti, tidak teringat (mahu) nak masuk mana lagi. Tunggulah tengok sapa (parti) mau, saya terima. Kalau tidak mahu (terima saya), saya fokus buat kerja kebajikan.

“Ramai sangat (yang nak sertai PH), biar dulu. Dulu saya vokal dalam UMNO duduk bercakap, mungkin mereka tidak sedap (senang) dengan saya,” katanya lagi.

Ahad lalu, Presiden Gerakan Baju Merah, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju menyerahkan borang untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagaimanapun, permohonan beliau ditolak kepimpinan parti tidak sampai 24 jam selepas dia menyerahkan borang permohonannya.

Menurut Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata parti itu tidak memerlukan orang seperti Ali untuk menjadi ahli. -MalaysiaGazette