Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama pelajar pada Program Bicara Santai 'Pemerkasaan Belia' di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 NOVEMBER 2018
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama pelajar pada Program Bicara Santai 'Pemerkasaan Belia' di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 NOVEMBER 2018

BANGI – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh merapatkan jurang miskin-kaya di negara ini.

Katanya, banyak golongan yang terpinggir semasa pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu dan tindakan kerajaan untuk tidak memperkenalkan Cukai Kekayaan membuktikan kenyataan beliau.

“Kita sepatutnya mulakan dengan memperkenalkan Cukai Kekayaan kepada golongan super rich, bukan kaya yang biasa-biasa supaya cukai yang dikutip daripada mereka boleh digunakan untuk membantu golongan yang sangat memerlukan.

“Alasan yang diberikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengatakan Cukai Kekayaan boleh menyebabkan pengaliran wang ke luar negara boleh disangkal kerana terdapat banyak cara untuk mengatasinya.,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program Bicara Santai: Pemerkasaan Belia di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berharap kerajaan boleh memikirkan mengenai pelaksanaan cukai-cukai progresif di samping melakukan penyelarasan terhadap cukai pendapatan individu dengan mengenakan banjaran yang lebih besar terhadap golongan yang berpendapatan melebihi RM300,000 ke atas berbanding RM200,000 ketika ini.

Guan Eng semasa sidang Dewan Rakyat berkata, kerajaan tidak bercadang mengenakan cukai kemewahan terhadap golongan kaya di negara ini bagi mengelak kejutan terhadap pasaran modal dan kewangan.

Katanya, kerajaan kini dalam proses memulihkan kedudukan fiskal defisit yang dihadapi negara dan sebarang dan pengenalan cukai sedemikian seperti cukai keuntungan modal dikhuatiri akan menjejaskan usaha tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Cukai untuk mengkaji cukai-cukai yang akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2019.

Bagaimanapun, katanya, cukai kemewahan tidak diketengahkan setelah ia mendapat maklum balas daripada beberapa pihak termasuk Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Kewangan.