SETIU – Minat dan kecintaannya terhadap aktiviti memanah dan berkuda membuatkan Mohd Ridzuan Zakaria, 28, tekad mencabar dirinya untuk mencuba sukan memanah berkuda, iaitu antara sukan yang kurang diminati rakyat negara ini.

Dikenali dengan panggilan ‘Mat Ju’ dalam kalangan rakan-rakannya, anak muda berasal dari Kampung Pak Kancil, Setiu, itu berkata beliau juga tidak menyangka percubaan kedua menyertai kejohanan sukan itu di Indonesia baharu-baharu ini berjaya mengharumkan nama negara.

Beliau berjaya membawa pulang pingat perak meskipun baharu sahaja berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu.

“Sebelum ini saya hanya menumpu kepada sukan berkuda sahaja namun pada tahun 2014 saya mula berjinak-jinak dengan sukan memanah pula. Setelah belajar berkuda dan memanah saya mula terfikir untuk mencuba sukan memanah berkuda yang menjadi kombinasi antara sukan berkuda dan sukan memanah.- BERNAMA