Gambar hiasan - Kanak-kanak riang bermain permainan di "Kids Gym" semasa tinjauan Lensa MalaysiaGazette di Melawati Mall, Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 06 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja di pusat asuhan bertindak menyumbat cili merah ke dalam mulut seorang kanak-kanak sebagai denda.

Berikutan kejadian itu, ramai ibu bapa dan bekas pekerja pusat asuhan itu telah mengutuk pihak pengurusan pusat kerana menggaji pekerja asing yang latar belakangnya tidak dapat dikenal pasti.

Para ibu bapa juga membongkarkan bahawa denda makan cili bukan kejadian tunggal, tetapi telah menjadi amalan yang berulang.

Seorang ibu bapa yang pernah menghantar anaknya ke pusat asuhan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu turut membongkar bagaimana anaknya dihina dan dipermalukan.

Kata sumber berumur 35 tahun itu, anaknya yang mempunyai masalah pendengaran dan pendiam orangnya selalu dipersendakan pekerja pusat asuhan.

“Mereka memperolok anak saya dengan mencontohi gaya percakapannya yang selalu mengeluarkan bunyi ah…ah…ah… kerana masalah pendengaran yang dihadapinya.

“Saya sendiri juga pernah bekerja di pusat asuhan itu dan mendapati pekerja lain selalu hilang sabar dengan kanak-kanak.

“Selain mendenda secara fizikal, mereka juga menguncikan anak yang bersalah dalam tandas,” katanya kepada China Press.

Menurutnya lagi, pekerja malahan mengisi air minuman dalam baldi dan air yang diberikan kepada kanak-kanak mungkin ialah air paip.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pekerja pusat asuhan itu yang berumur 31 tahun berkata, anaknya juga pernah didenda makan cili ketika berumur enam tahun kerana enggan minum air.

Katanya, kebanyakan pekerja pusat asuhan adalah berasal dari Indonesia dan denda makan cili memang diamalkan ke atas kanak-kanak nakal.

Tambahnya, disebabkan tidak tahan dengan denda-denda yang dikenakan ke atas kanak-kanak, dia akhirnya meletak jawatan. – MalaysiaGazette