Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan rumusan Lim Kit Siang mengenai negara umat Islam seluruh dunia yang meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai dangkal.

Penasihat DAP itu dicabar untuk membuktikan mana-mana negara umat Islam di seluruh dunia yang mempunyai latar sejarah kemerdekaan dan kontrak sosial seperti Tanah Melayu, komposisi kaum utama hampir seimbang dan memperuntukkan satu peruntukan khas seperti Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, pemimpin utama DAP itu sebenarnya gagal memahami konsep asas sosio-politik pembentukan Malaysia sehingga mahu memaksa negara ini mengikut falsafah dan acuan barat dalam amalan hak asasi manusia.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan secara khusus hak asasi rakyat atau kebebasan asasi individu seperti dalam Perkara 5 hingga Perkara 13.

“Terdapat beberapa negara umat Islam yang meratifikasi ICERD dan membuat pengecualian kepada beberapa artikel tertentu dalam konvensyen berkenaan.

“Contohnya, negara Arab Saudi membuat beberapa reservasi telah dibantah keras oleh beberapa negara seperti Austria, Finland, German, Norway, Spain dan Sweden.

“Yemen juga membuat pengecualian antaranya Artikel 5. Pengecualian ini mendapat bantahan keras dari banyak negara antaranya Australia, Belgium, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, German, Itali, Mexico, Belanda, New Zealand, Norway, Sweden dan United Kingdom.

“Mereka menganggap pengecualian tersebut melanggar matlamat asal ICERD,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Nasrudin, ini bermakna negara umat Islam yang meratifikasi ICERD dan ICCPR khususnya telah terikat dengan konvensyen tersebut.

“Kita tidak mahu kelak, negara juga bakal dikawal oleh kuasa luar untuk menentukan apa yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Walhal, artikel-artikel yang terdapat dalam ICERD dan ICCPR banyak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau mengajukan pertanyaan kepada Kit Siang, adakah DAP mahu merombak Perlembagaan dan menghapuskan Perkara 153 khususnya? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast