Sergio Ramos.

MADRID – Sergio Ramos disahkan gagal ujian doping selepas Real Madrid menang ke atas Juventus pada aksi final Liga Juara-Juara tahun lalu.

Football Leaks and Der Spiegel yang mendedahkan hal itu mendakwa kapten Real Madrid itu sah positif mengandungi bahan dexamethasone.

Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) sebelum ini tidak membenarkan bahan itu digunakan sebelum perlawanan.

Laporan itu mendakwa Ramos menerima dua suntikan dexamethasone di lutut dan bahu sebelum perlawanan menentang Juventus.

Namun pasukan perubatan Real tidak memaklumkan kepada UEFA mengenai bahan yang digunakan pemain itu.

Sebaliknya, pasukan perubatan Madrid didakwa sebagai berkata Ramos tidak bersalah dan ‘kesilapan manusia’ harus dipersalahkan kerana gagal memaklumkan kepada UEFA bahawa pemain pertahanan itu menerima suntikan dexamethasone.

Laporan itu berkata, UEFA menerima penjelasan doktor pasukan perubatan Madrid dan menggesa kakitangan perubatan kelab itu untuk menyatakan dengan jelas ubat yang diberikan terhadap pemain mereka.

Pada April lalu,Ramos turut didakwa menghalang tugas seorang pegawai doping selepas aksi Real Madrid bertemu Malaga. – MalaysiaGazette