Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Presiden Alumni PTD, Tan Sri Sallehuddin Mohamed (tiga kiri) serta yang lain bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Yayasan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sempena makan malam dwi-tahunan Alumni PTD 2018 di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2018.

PETALING JAYA – Laporan penuh hasil daripada pengenalan pelbagai langkah untuk menangani hutang negara dan penstrukturan pentabiran kerajaan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan akan dikeluarkan tahun depan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang menyiapkan laporan tersebut.

“Tahun depan kita akan keluarkan. Kita mahu tengok apa hasil daripada langkah-langkah yang telah diambil kerajaan (Pakatan Harapan) selama pemerintahan.

“Laporan tersebut tertumpu kepada aspek hutang negara yang terlalu banyak kita terpaksa pikul dan juga penstrukturan semula pentadbiran kerajaan yang mana sesetengah kementerian telah mengubah cara mereka bekerja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Dwi-Tahunan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik 2018 di sini hari ini.

Terdahulu ketika ucapannya, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak menyangka terlalu banyak kerosakan telah berlaku kepada kerajaan dan negara semasa pemerintahan sebelum ini.

Ini menyebabkan beliau terpaksa menubuhkan sebuah kerajaan dan pentadbiran baharu dan melantik muka-muka baharu menggantikan yang lama.

“Saya terpaksa keluar parti dan menelan maruah sendiri untuk bekerjasama dengan pembangkang kerana mahu membetulkan semula keadaan.

“Saya terpaksa bekerjasama dengan orang yang memanggil saya Mahazalim dan Mahafiraun selama ini kerana bagi saya, panggilan tersebut tidak seteruk keadaan negara yang terpaksa menanggung hutang dan dilanda isu rasuah,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berlainan, Dr. Mahathir berkata, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengeluarkan kenyataan susulan pengakuan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad yang mengatakan perenggan yang menyatakan ahli perniagaan Low Taek Jho pernah menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dibuang daripada laporan akhir audit 1MDB.

“PAC dan Jabatan Audit Negara akan mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Pada Ahad, Madinah berkata, arahan untuk membuang nama Jho Low itu dibuat oleh bekas setiausaha sulit Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 dengan alasan ianya adalah isu sensitif dan bakal dimanipulasi oleh parti pembangkang.

Katanya, beliau telah memberi taklimat kepada barisan Kabinet mengenai pindaan tersebut sebelum dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC pada 4 Mac 2016.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast